Thursday, July 31, 2014

Pinky....

Tahun ni berpeluang beraya dengan tema warna pink. Walaupun aku sorang je perempuan dan semua anak-anak aku lelaki, tema pink menjadi idaman hati.


Paling suka dengan gambar ni sebab semuanya buat muka ceria... Tahun ni rasanya paling banyak berposing di hari raya pertama. Kebanyakan menggunakan monopod je..


Tahun ni giliran beraya di sebelah keluarga aku. Ni gambar aku dan kakak aku bersama dengan mak aku... Nampak tak kemeriahan setiap keluarga dengan warna tema masing-masing. Tapi warna pink paling menyerlah... Tak silap kami pilih warna ni...

Raya ketiga baru balik ke Kelantan, kampung suami. Raya keempat barulah pergi menziarahi ahli keluarga terdekat yang berhampiran.

Insyaallah hari Ahad baru bertolak balik semula. Tak sempat nak jengah blog sebab line internet tak berapa bagus di kampung.

Apa-apa pun saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang membaca atau singgah di blog kecil saya ni..







Saturday, July 26, 2014

Ucapan Selamat Hari Raya


Hari ni masih kerja lagi. Tengok dekat FB semua post pasal jalan jem untuk pulang ke kampung.. Tahun ni giliran beraya dekat sebelah keluarga aku pulak, tapi balik kampung tetap balik. Cuma kali ni balik Kelantan Hari Raya ketiga kot.. Ingat nak mulakan perjalanan seawal pagi bukan sebab takut jalan jem tapi sebab cuaca sekarang yang terlampau panas. Rasa tak larat nak tempuh perjalanan yang jauh dengan cuaca panas terik macam sekarang.

Untuk entri kali ni aku nak ucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga semua penulisan aku di blog ini tidak menyakitkan hati sesiapa disamping dapat memberi atau berkongsi ilmu kepada semua.

Bagi yang masih dalam perjalanan semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing. Bila jalan sesak ni memang kena banyak bersabar ye. Semua orang nak sampai cepat ke destinasi tapi perlulah memandu dengan berkhemah (betul ke ejaan aku ni) untuk keselamatan bersama....

Friday, July 25, 2014

Shopping sebelum Raya

Kali ni aku bershopping bersama dengan mak dan anak aku yang ketiga. Biasanya aku membeli belah sorang-sorang je sebab kalau bawak anak-anak tak dapat nak membeli apa-apa pun sebab takut anak-anak hilang dari pandangan mata. Kebetulan hari Rabu aku kerja petang, jadi pagi tu dah bawak anak aku ngan mak aku pergi melawat kilang perabot Alcano Design. Banyak aku baca review dari beberapa blogger berkenaan dengan kilang perabot ni, memandangkan kilang tu dekat je dengan rumah aku pun ajaklah mak aku melawat kilang tu. Sebelum tu aku dah call pemilik tu tanya waktu operasinya. Jadi seawal pukul 9 pagi kami dah terpacak dekat kilang tu. 

Aku nak cari Japanese Table untuk raya ni. Biasalah kalau cari last minute inilah jadinya. Nasib baik kilang dekat boleh hantar sebelum Raya. Selain tu aku hantar kusyen sofa kat rumah dah lembik disebabkan kami yang suka me'landing' guna kusyen tu. Saja bawak semua kusyen tu mana tahu diorang boleh buatkan. Alhamdulillah diorang boleh menggemokkan balik kusyen sofa tu dengan harga yang sangat berpatutan bagi aku. Siap terus pulak tu.. tak sampai sejam dah siap...

Tempat menunggu

Bahagian luar tu adalah kilang dia

Ni tengah tunggu kusyen siap. Anak aku buat macam kilang keluarga dia je... Amin mudah-mudahan suatu hari nanti mana tahu aku ada pulak kilang perabot macam ni. Memang tengok sofa-dofa yang dah siap kat sini tergoda hati ni. Tapi buat apa nak membazir sebab sofa elok lagi. Cuma kusyen je yang lembik tapi sekarang dah sedap untuk kami landing.

Selesai urusan kat sini, aku ajak mak aku ke Mydin. Yang terdekat adalah Mydin Selayang. Niat nak cari langsir dapur tapi langsir dapur takde tapi barang lain pulak yang aku membeli. Nampak sampin teringat pulak yang anak-anak dah ada sampin ke belum. Saja cuba tapi tak beli pun.. Ambil gambar sbb nak tunjuk ayahnya nak beli ke tidak..


Mangsa keadaan.. Aku suruh dia keluar tapi dia tak nak. Troli dah penuh tapi still nak duduk dalam tu, kalau ada ayahnya boleh dia mendukung. Ni takde makna aku nak mendukungnya. Duduklah dalam barang-barang yang padat tu.



Siap posing depan Mydin lagi... Sukahati dia dapat jalan-jalan keluar. Selalu asyik duduk dalam rumah je dengan nenek. Kalau nenek tahu bawak kereta dah lama dah berjalan agaknya dua orang ni...

Ramadhan tinggal beberapa hari je lagi.. Sedih pulak rasanya untuk meninggalkan Ramadhan ni. Setahun sekali je pun... Moga bertemu lagi di Ramadhan akan datang.




(STICKY POST) : Niat Puasa dan Doa Berbuka Puasa

Dah tua-tua ni memang tak boleh nak ingat sangat macam-macam doa ni. Iyelah setahun sekali je membacanya. Untuk kali ni aku letakkan kat sini sebagai rujukan aku sepanjang bulan Ramadhan. Tapi biasanya niat Puasa aku akan baca untuk sebulan terus sebab takut terlupa baca niat.


Selain tu doa berbuka puasa pun aku dah letak kat sini sebagai rujukan kepada sesiapa yang terlupa atau tak hafal sangat doa ni.


Selamat bertarawikh ye semua. Malam ni malam pertama kita bertarawikh..

Wednesday, July 23, 2014

Nasib baik tak tertelan gigi

Semalam waktu berbuka puasa tetiba Iqbaal beritahu gigi dia dah patah. Aku takdelah terkejut sangat sebab dah tahu gigi dia dah goyang. Yang paling kesian giginya bukan rosak tapi disebabkan kena tampar dengan kawan dia 2 hari sebelum tu. Terkejut aku bila dengar dia kena tampar dengan kawan kat sekolah. Aku tanya kenapa dia tampar? Rupa-rupanya budak tu pinjam pensel warna dia pastu tak nak pulangkan, jadi dia pun rampas kot dari budak tu. Tu yang kena penampar tu agaknya...

Ikutkan marah jugak tapi dah lumrah budak-budak macam tu nak buat macamana kan... Masa balik sekolah tu dia siap ajak pergi Klinik Gigi untuk cabut gigi dia yang dah goyang tu. Tapi aku tak bawak sebab tahu nanti mesti gigi tu akan tercabut sendiri. Betul sangkaan aku, 2 hari dah tercabut sendiri. Nasib baik dia tak rasa sakit masa tercabut tu..

Siap pesan untuk ambik gambar dia yang dah takde gigi tu sebab nak masuk dalam internet katanya.. nak tunjuk pada kawan-kawan dia. Lepas habis solat tarawih terus suruh aku ambik gambar gigi dia..


Ni pulak lepas bersiap nak ke sekolah pagi tadi. Dia minta aku ambik gambar dia lagi...


Biarlah ia jadi kenangan bila dia dah besar nanti.. Pengalaman pertama dia patah gigi..

Telegram di Desktop


Ada tak yang kenal logo ni? Nilah logo Telegram dia adik beradik dengan Whatsapp tapi lain mak bapak rasanya. :)

Rupanya Telegram ni boleh buka di komputer juga, jadi senanglah sikit nak baca mesej kalau tengah bekerja.. tak payah sibuk-sibuk cari handphone. Kalau ada yang belum download untuk PC boleh terus klik SINI ye...


Tuesday, July 22, 2014

Cabaran RM 50

Di bulan Ramadhan yang mulia aku terpaksa adakan cabaran ini untuk anak-anak. Ini bukan cabaran untuk suruh mereka puasa penuh ye tapi ia adalah untuk berikan semangat untuk anak-anak aku pandai Matematik. Idea ni tercetus apabila aku dapati anak aku Muhammad Zulqarnain sangat lemah dalam subjek Matematik. Memang aku betul-betul kecewa bila dia agak lemah dalam subjek ni. Mana taknya aku paling suka subjek ni takkan anak-anak lemah subjek tu. Hinggakan Zul Iqbaal pun lebih laju dalam subjek ni.


Orang sibuk nak buat persiapan hari raya, aku pulak sibuk nak suruh anak-anak aku pandai Matematik. Biarlah apa orang nak kata, asalkan anak-anak aku cekap dalam subjek Matematik sudah.. Aku dah siapkan 2 set soalan Matematik tambah dan tolak sebanyak 27 muka surat untuk setiap seorang. Walaupun beza umur hanya setahun, itu semua aku tolak tepi. Soalan ni aku dapat dari internet je. Kalau ada yang nak cari soalan tambah dan tolak boleh ambik kat sini. Sebenarnya soalan bahagi dan kali pun ada tapi aku tak print sebab nak fokus untuk soalan campur dan tolak. Terima kasih sangat kepada pemilik blog sebab create file yang memudahkan ibu seperti aku.



Sebelum ni aku ada pergi ke Kursus Mental Arithmetik tapi tak berkesempatan nak ajarkan anak-anak dengan kaedah tu. Tapi aku ambik juga beberapa tips semasa seminar tu antaranya adalah kira menggunakan Bahasa Inggeris. Maksudnya anak mengira tak guna Bahasa Melayu. Salah satu sebabnya adalah sebutan nombor dalam BM sangat panjang tapi dalam BI paling panjang adalah SEVEN yang menggunakan dua suku kata. Nombor lain semua gunakan satu suku kata. Ada yang tak percaya? Cuba baca ni :-

ONE
TWO
THREE
FOUR
FIVE
SIX
SEVEN
EIGHT 
NINE
TEN

Jadi tips yang ni memang sangat berkesan kepada anak aku terutama kepada Iqbaal. Ini sebabnya setiap kali ada kerja sekolah Matematik aku akan suruh dia kira dalam BI sebab lagi cepat dia menjawab kalau nak dibandingkan bila dia mengira dalam BM. Walaupun baru sekolah Tadika tapi kerja sekolahnya lebih banyak dari budak sekolah rendah. Itu yang menjadi salah satu sebab Zulqarnain jadi lemau bila masuk sekolah rendah sebab takde atau tak banyak kerja sekolah diberikan kepada mereka.


Semalam bermulanya cabaran tersebut dan nampaknya bersemangat masing-masing menjawab soalan sampaikan Zulqarnain tertidur sambil mengira. Ini sudah cukup baik sebab kalau boleh aku nak mengurangkan aktiviti anak-anak yang suka sangat tengok tv. Kalau dengan aku memang jangan harap dapat nak tengok tv tu.... Sekali sekala ok tapi bila dah kerap aku pulak jadi naik rimas.

Apa-apapun semoga anak-anak aku ni terus bersemangat untuk mahir mengira. 

Lagi satu tips yang aku boleh berikan adalah dengan memasang ayat-ayat Al Quran semasa anak-anak mengira. Insyaallah banyak manfaatnya disamping membiasakan mereka dengan ayat Al Quran dan suasana bising. Rupanya kita perlu biasakan anak-anak menjawab dalam keadaan bising, bukannya dalam keadaan senyap seperti di sekolah kerana ia akan membiasakan anak-anak apabila berada di dunia luar. 





Monday, July 21, 2014

Pendaftaran Sekolah Berjaya

Alhamdulillah segalanya dipermudahkan dalam urusan pendaftaran Zul Iqbaal ke Sekolah Rendah. Pendaftaran ni kami dah buat sekali dengan Muhammad Zulqarnain masa tahun 2013. Jadi tak perlu lagi nak sibuk-sibuk pergi mendaftar tahun ni. Tapi sebab risaukan takut tak dapat, aku pergi jugaklah ke sekolah membuat pengesahan tu.

Hari ni bila check dekat website ni http://apps.moe.gov.my/esppsel/ dimaklumkan permohonan kami berjaya. Tak payah nak pening kepala fikirkan sekolah anak kat mana. Tahun depan dua-dua boleh pergi sekolah yang sama.


Masa untuk membuat pengesahan dengan pihak sekolah pulak. Lepas raya baru boleh buat pengesahan sehingga 30 Ogos 2014.

Saturday, July 19, 2014

Mood Raya sudah datang

Kali ni mood raya datang awal pulak rasanya. Tahun-tahun sebelum ni aku tak berapa rajin nak pasang pelita kat sekeliling rumah tapi tahun ni sebab anak-anak dah besar rasa nak menambahkan keseronokan dengan memasang pelita. Takdelah aku nak pasang keliling rumah sebab mahu nak kena ada 100 biji pelita baru boleh kira pasang keliling rumah tu.

Aku beli sepeket je pelita tu. Ada dalam 10 biji pelita dan harganya RM 5.90 je. Masa dulu-dulu kerja-kerja memasang pelita ni dilakukan oleh arwah abang aku. Semenjak dia meninggal memang takde siapa nak menyambung kerja-kerja dia setiap kali menjelang Raya.. Lepas lebih kurang 6 tahun baru aku tergerak nak menceriakan rumah dengan lampu-lampu pelita ni.

1 peket pelita

Kalau ada yang nak pasang pelita kat rumah tu mesti ingat sebelum boleh pasang pelita ni kena buat kerja sikit. Kena pasangkan sumbu pada pelita tu. Memandangkan kerja-kerja ni macam pertama kali aku buat memang nak menyiapkan 10 pelita ni pun ambil masa 15 minit jugak. Dengan bantuan hero-hero aku yang lain juga.

Pelita yang dah siap sumbunya
 Tengoklah kegigihan masing-masing memasukkan sumbu ke dalam pelita. Ini pengalaman pertama anak-anak buat benda-benda ni.

Gigih anak beranak ni memasang sumbu

Bila dah siap pasang, aku pun masukkan siap-siap minyak tanah dalam setiap pelita supaya mudah nanti terus sangkut je kat tepi pagar tu. Dulu-dulu beli RM 1 je minyak tanah tu tapi dapat sebotol besar. Tahun ni suami aku beli sebotol kecik yang tak sampai 1 liter dah RM 3.50. Sebotol pun tak cukup untuk 10 biji pelita sehari ok... Nak jimat aku rasa boleh pakai minyak petrol je kot. Tengoklah macamana kan.... kalau tak memang tak menyala lah gamaknya pelita-pelita aku tu...

Suasana malam nanti aku update kat next entry sebab semalam anak-anak tak ambik gambar. Cuma ambik video je....









Wednesday, July 16, 2014

WWW : Shooting Hari Raya

Dah bersiap nak bershooting sempena Hari Raya di Tadika. Semangat aku menyiapkan dia biar nampak betul-betul nak berHari Raya. Pakai baju raya 2 tahun lepas. Badan dan keringgian maintain.....



Monday, July 14, 2014

Menang Voucher Berbuka Puasa di Bangi Golf Resort

Alhamdulillah permulaan minggu yang baik sebabnya hari ni dikejutkan dengan hadiah buffet Ramadhan di Bangi Golf Resort. Minggu lepas masa blogwalking ternampak GA ni dekat blog Eyriqazz. Sesaja je join tak sangka ada rezeki aku kat situ. 2 voucher bernilai RM 50 setiap satu menjadi milik aku. Samada nak pergi ke tak belum tahu lagi. 


P/S : Dah lama tak menang apa-apa peraduan untuk tahun 2014. Ini mungkin pembukaan untuk menang lebih lagi untuk tahun ni.

Terima kasih Eyriqazz sebab bagi hadiah voucher ni..

Friday, July 11, 2014

Majlis Iftar Ramadhan kali ini..

Tahun ni memang kalau boleh nak kurangkan sertai Majlis Berbuka Puasa. Bukannya aku ni anti sosial tapi mengenangkan anak-anak yang dah mula belajar berpuasa, jadi masa buka tulah masa kami duduk semeja. Setakat hari ni dah dua kali sertai Iftar. Itupun sebab terpaksa hadiri tak boleh nak dielakkan. Kali pertama Majis Iftar kecil-kecilan je sebab baru lepas habis Seminar. Memandangkan habis seminar pun dah lambat dan dikhuatiri jalan jem, aku sertai jugak. Majlis dibuat di JM Beriani di Tesco Shah Alam. Pilihan aku adalah Beriani Kambing manakala air semua sama je air Soda Bandung. Makanan ringkas tapi sedap. 

Kali kedua sempena Majlis Berbuka Tadika anak aku Zul Iqbaal. Itu memang harus pergi lagipun bawak anak-anak dan mak aku. Kiranya berbuka puasa diluar bersama ahli keluarga. Cuma suamiku takde sebab balik kampung untuk menjaga bapa mertuaku yang tak sihat. Tak boleh nak ikut balik sekali sebab anak-anak bersekolah lagipun cuti aku pun dah habis.

Seronok anak-anak berbuka puasa dengan kawan-kawan dia. Makan pun bukan banyak sangat pun main je lebih. Takpelah janji anak-anak happy. Kami juga berjaya buat kejutan untuk Pengetua Tadika sempena hari lahir dia. Ada buat suprise birthday cake lagi dengan semua orang menyanyikan lagu hari jadi untuk dia. Apa pun yang penting semua riang dan gembira. Kami dapat hadiah hamper sempena menang cabutan bertuah. Memang rezeki kami anak beranak dapat hamper tu.

Seronoknya makan

Keluarga kakak aku

Barisan Guru-Guru Tadika
 Paling best dapat pegang baby comel ni. Baby girl lagi bilalah nak merasa dapat anak perempuan sendiri. Moga-moga ada rezeki kami nanti. Insyaallah....

Thursday, July 10, 2014

Merekod puasa anak-anak

Alhamdulillah tahun ini ada improvement pada anak bujang aku Zulqarnain dan Zul Iqbaal. Cuma mungkin liat sikit masa hari-hari awal berpuasa. Masuk minggu kedua nampaknya anak-anak macam dah biasa dengan rutin bangun sahur dan berbuka puasa.

Letak di Peti Ais bagi mudah nampak

Salah satu cara nak menaikkan semangat diorang untuk terus berpuasa adalah dengan menyediakan jadual berapa hari diorang dah berpuasa. Ini tahun kedua kami menggunakan jadual dari Dutch Lady. Memang berkesan bila adanya jadual bagi menunjukkan berapa hari diorang berpuasa dan bersahur.

Setakat hari ni Muhammad Zul Iqbaal dah mendahului abangnya dengan hanya tinggal sehari berpuasa manakala Zulqarnain dah tinggal 3 hari. Apa-apa pun aku cuma harap anak-anak faham apa erti puasa dan jangan sekali-kali meninggalkan puasa bila sudah akil baligh nanti.

Rekod Zulqarnain
Rekod Zul Iqbaal

Bukan apa, aku sedih tengok budak-budak lelaki zaman sekarang yang tak puasa di bulan Ramadhan. Sehingga makan pun takde rasa malu. Macam aku kalau tak puasa pun, nak makan memang tak nak bagi orang lain nampak terutamanya anak-anak. Dijauhkan perkara sebegitu untuk keluarga aku...

Wednesday, July 9, 2014

Doakan Bapa Mertuaku

Semalam suami dapat berita dari kampung yang bapa mertua tak berapa sihat. Kebetulan suami pun kurang sihat dan dapat MC selama 2 hari. Katanya bapa mertuaku keracunan makanan sampai badan jadi lembik. Asyik membuang dan muntah-muntah dah masuk hari kedua.

Ambulance dah sampai depan rumah

Dalam Ambulans

Bila diajak ke hospital tak nak pergi. Akhirnya adik ipar yang duduk sekali ambil keputusan untuk telefon ambulance sebelum berbuka puasa. Akhirnya ambulans datang ambil lepas waktu Maghrib @ berbuka. Bila aku tengok ambulans teringat kenangan pertama kali naik ambulans masa arwah nenek tak sihat dulu. Memang sangat berdebar bila naik ambulans ni. Tapi kalau dah terpaksa nak buat macamana. Doakan semoga bapa mertua saya kembali sihat seperti biasa.

Amin....

Saturday, July 5, 2014

Musim Durian di bulan Ramadhan

Aduh... tak tahan betul aku nampak durian bersepah-sepah dijual ditepi jalan. Beberapa hari sebelum puasa aku dah memborong durian untuk dinikmati bersama ahli keluarga yang lain. Anak-anak aku ada masanya suka makan, ada kalanya pandang pun tak ingin dengan durian ni. Aku ngan suami aku memang hantu durian, jadi jangan gatal-gatal sesaja nak offer kitorang makan durian.. Pasti licin kami kerjakan... Hahahaha....

Longgokan durian
Kat sini dia jual ikut longgok. Ada yang 2 biji RM 10 dan ada 3 biji RM 10. Aku tanya apa bezanya? Dia kata saiz jer berbeza. Jadi memandangkan durian ni bukan dari pokok yang sama, baiklah aku pilih yang 3 biji RM 10. Tapi kalau nak rasa yang betul-betul sedap dia kira ikut kilo. Tapi aku beli yang RM 10 untuk 3 biji pun dah sedap sebab buah dia masih terasa gasnya.. 


Masa beli tu suruh brother tu siap-siap 'kopek' sebab nak tengok keadaan isinya elok ke tidak dan memudahkan bila nak makan kat rumah...

Buah di'kopek' depan pelanggan
 Ini je gambar yang aku dapat ambil sebelum makan durian tu. Bila tangan dah kotor takde makna nak ambik gambar ni semua. 


Kali kedua beli lagi dan siap beli untuk dibuat tempoyak. Kegemaran Zulqarnain kalau buat ikan masak tempoyak ni...

Friday, July 4, 2014

Kisah Duit Syiling

Semalam lepas bersahur dan Solat Subuh, Zulqarnain datang tunjuk dekat aku dan tunjuk tabung dia dah penuh.. Dah tak boleh nak masuk duit dah... Siap suruh aku buatkan tabung baru untuk dia. Dah alang-alang tabung penuh, aku pun suruh dia ambik semua tabung yang ada dalam rumah untuk aku kira dan masukkan duit-duit ke dalam akaun simpanan anak-anak. Tangung-tabung kat rumah termasuklah duit-duit orang bagi dan juga duit syiling dari aku dan ayahnya.. Semua anak-anak aku sapu masuk dalam tabung diorang.

Salah satu tabung yang digunakan
Memandangkan duit tu dah bercampur aduk, kami buat keputusan untuk bahagikan terus kepada 3 orang. Tapi kalau nak ikutkan duit Zulqarnain yang banyak sebab duit baki belanja sekolah biasanya dia akan simpan dalam tabung. Yang lagi dua belum dapat duit belanja, jadi memang mana pulak nak memenuhkan duit tabung diorang kan... Insyaallah lepas ni aku akan labelkan nama untuk setiap tabung supaya lebih adil untuk semua orang.

Masa untuk mengira
Dalam tabung tu ada duit syiling dan duit kertas. Kalau duit kertas tu mudah je kerja aku sebab tak perlu nak ke bank. Hanya buat online transfer je. Duit syiling ni yang agak leceh sebab nak kena ke bank dan tukarkan duit tu di kaunter. Aduh.. lemah badan rasanya kalau nak ke bank terutamanya CIMB Bank yang servisnya tak berapa nak best. Nak tak nak kena juga menghadap tapi nak mintak tolong staff kat sini yang selalu pergi bank tolong tukarkan duit syiling tu.

Duit syiling yang dah siap ditukar
Jumlah semua duit dalam tabung memang cukup memberangsangkan. Tapi takde rekod itu untuk tempoh berapa lama. Lepas ni nak kena buat rekod supaya nampak macamana pencapaian tabungan anak-anak. Kami dah setkan dalam fikiran anak-anak duit dalam tabung ni nak digunakan untuk menunaikan Haji, jadi memang bila ada duit lebih mesti diorang bersemangat nak menyimpan. Rasanya kalau takde target nak buat apa menyimpan mesti rasa malas nak menyimpan. Jadi kalau boleh setkan siap-siap tabung tu nak digunakan untuk apa samada pergi melancong atau beli gadget.

Harap-harap perkongsian ini memberikan idea kepada semua untuk menggalakkan anak-anak terutamanya untuk menabung.

Wednesday, July 2, 2014

Saya Nak RM300 Duit Raya Daripada Nile.com.my


Siapa tak nak kalau orang bagi duit kan. Nak pulak dah nak dekat Raya ni.. Mesti banyak memerlukan duit untuk membeli baju raya, kuih muih, duit raya dan macam-macam lagi. Kalau ada yang nak mencuba nasib boleh cuba masuk peraduan ni. Yang bestnya peraduan ini adalah berdasarkan siapa yang bertuah atau dipilih secara random.

Hadiahnya pula adalah seperti berikut :-

 2 x Lucky Winner , hadiah RM300 Cash
4 x Lucky Winner , hadiah RM100 cash

Ada yang tak nak ke? Kalau tak nak lagi bagus sebab lebih banyak peluang untuk aku menang.. Hahahaha.... Kalaulah aku menang peraduan ni, aku nak berikan duit tu pada mak aku je. Sebab apa dialah yang dah bersusah payah menyediakan hidangan berbuka puasa kami sekeluarga. Bukannya aku tak nak masak tapi mak aku yang dengan senanghatinya tak bagi aku masak. Itu kalau menang RM 100 je, tapi kalau menang RM 300 aku nak agihkan sebahagiannya sebagai duit raya kepada yang memerlukan. Untuk diri sendiri rasanya dah cukup dengan duit gaji yang aku dapat. 

Oklah bagi yang nak sertai peraduan ni, ikuti 4 langkah ni yer :-

1.  Tajuk: Saya Nak RM300 Duit Raya Daripada Nile.com.my

2. Letakkan gambar kat atas tu dan backlinkskan permalink ini –
>  http://www.nile.com.my/page.php?cd=76

3. Hasilkan satu entri, kalau anda dapat Rm300 apakah yang anda akan beli sempena puasa or raya ini? (I.e. kelengkapan baju raya, belanja keluarga berbuka puasa, beli biskut raya, berbuka puasa di hotel, etc)

4. Emailkan ke  give_away@nile.com.my beserta tajuk email  – Raya Giveaway (and your full name)

a. Blog Link -
b. Full Name -
H/p Number -

Dah buat semua langkah tu, bolehlah check nama korang kat SINI 
Tarikh Tutup pada 21/07/2014, 11.59 malam.

Maggi tetap dihati

Dah hari ketiga bersahur, dah tak tahu nak buat menu apa untuk anak-anak. Dua hari sebelum ni aku masakkan telur goreng tapi yang warna putih je. Sebelum ni telur putih goreng memang kegemaran Muhammad Zulqarnain tapi kali ni jadi kegemaran Muhammad Zul Iqbaal pulak sebagai juadah bersahur. Dah dua hari berturut-turut masak menu yang sama, jadi untuk hari ketiga aku masakkan maggi. Tapi aku tak pakai perencah maggi, aku pakai perencah tom yam.

Kadang-kadang kesian tengok diorang ni bersahur. Mana taknya mata diorang pun tak boleh bukak masa makan tu. Hanya menggunakan deria rasa je. Alhamdulillah hari ni siap bertambah magginya. Harap-harap anak-anak kenyang sepanjang hari ni. Cuma tak tahu macamana nak suruh diorang minum air banyak-banyak. Aku bagi minum susu je selepas habis makan sahur. Harap-harap dapat bertahan.

Zul Iqbaal makan selera tapi mata tak boleh buka mata

Zulqarnain suka dapat menu maggi

Aku tak risau dengan Zul Iqbaal sebab dia pergi Tadika pastu terus tinggal dekat Taska. Muhammad Zulqarnain pulak pagi ke Sekolah Agama pastu ke Sekolah Kebangsaan. Aku memang takde bagi duit belanja sekolah langsung. Hari Isnin dapat bertahan puasa sampai ke petang, sekali semalam boleh pulak dia kata tak puasa sebab kawan-kawan semua tak puasa. Geram betul bila aku dengar dia cakap macam tu.. Hangin satu badan dibuatnya. Aku tanya siapa bagi duit, dia kata Nenek yang bagi. Itupun sebab masa nak pergi sekolah dah meraung minta duit dengan Nenek.

Takpelah yang penting dah mula ajar diorang untuk berpuasa penuh. Kalau dari kecik tak paksa takut bila dah besar lagi liat nak puasa.

Tuesday, July 1, 2014

Al Kisah 1 Ramadhan

Tahun ini anak-anak bersemangat Nak berpuasa. Hari ini seawal 5 pagi dah menggerakkan anak-anak untuk bangun bersahur. Macam biasa bukan senang nak mengejutkan anak-anak seawal pagi. Bila dah bangun, mata bukannya buka pun... Bila disuruh makan hanya sesuap dua nasi masuk dalam perut. Lepas tu sambung tidur balik.

Pagi ni masing-masing aktif bermain, bila jam menunjukkan pukul 12 tghari, si kecil Zulfiqar nak susu, aku pergi buatkan susu di dapur ada pula yang dah menogok air botol kat depan dengan rakus sekali. Tak lain tak bukan tentulah Zul Iqbaal. Secara automatiknya tak puasa hari ni.

Berdoa pula pada si abang supaya dapat bertahan dari buka puasa, tapi hampir pukul 3 petang, kepenatan akibat bermain di pagi hari memang menggugat imannya untuk berbuka dengan melihat kedua-dua adiknya minum dengan selambanya...

Akhirnya.....

^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^

Tak Puasalah ketiga-tiga anak aku tu untuk hari pertama..

Alhamdulillah hari kedua berjaya puasa penuh walaupun masa saat-saat akhir masing-masing dah berkali-kali tanya bila boleh buka puasa. Kesian anak-anak penat berpuasa, sebagai hadiah nenek dah berikan sorang RM 5 sebab berjaya puasa semalam. Hari ni nak bagi apa pula ye supaya menjadikan mereka semangat untuk terus berpuasa.... Ada apa-apa cadangan?

Cheesekut Mini

 Dah beberapa hari nak buat cheesekut atas permintaan anak-anak tapi asyik tak sempat je. Hari ni usaha merajinkan diri menyiapkan mini...